Friday, November 28, 2008

Rinduku pada Nura...



"Mama kenapa mama buat tu, biarlah mak yang buat," marah Hilmi bila melihatkan Nura cuba
menyapu lantai. Sejak keluar hospital hari tu, mertua dia meminta supaya Nura tinggal saja di
rumah sehingga bersalin kerana dia memang tidak dibenarkan doktor melakukan sebarang
kerja, bimbang keguguran kerana rahimnya tidak kuat.
"Ala Papa ni, biarlah mama buat sikit sajalah," balas Nura. Itulah panggilan manja mereka
sekarang ni.
Dengan pengawasan rapi doktor, yang setiap dua tiga sekali akan melakukan pemeriksaan,
dan bila usia kandungan mencecah 6 bulan, doktor mengarahkan supaya Nura hanya berehat
di hospital, supaya senang mengawasi Nura dan andainya apa-apa berlaku Nura akan terus
dibedah untuk menyelamatkan nyawanya dan bayi yang dikandung. Setiap hari Nura akan
dilawati oleh Hilmi. Nura amat bahagia, ternyata bayi yang dikandung membawa sinar, amat
berharga kehadiran dia nanti, sebab itulah Nura sanggup tinggal di hospital, sanggup menelan
berjenis ubat, sanggup disuntik apa saja semuanya demi bayi itu.
Kandungan sudah di penghujung 7 bulan, Nura amat bahagia merasakan gerakan-gerakan
manja bayi yang dikandungnya. Setiap tendangan bayi dirasakan amat membahagiakan.
Doktor makin teliti menjaga Nura, kerana bimbang berlaku pertumpahan darah, dan akhirnya
apa yang dibimbangi para doktor menjadi nyata apabila Nura mengalami pertumpahan darah
yang serius, lantas terus dia ditolak ke dalam bilik bedah dalam masa beberapa minit sahaja.
Hilmi tiba bersama ibu dan ayahnya, dia panik sekali, namun cuba ditenangkan oleh kedua
orang tuanya. Hampir satu jam berlalu, apakah khabarnya Nura di dalam sana. Hilmi makin
risau, setengah jam kemudian doktor keluar.
Hilmi meluru, "Doktor bagaimana isteri saya ?", Hilmi terus bertanya.
"Sabar, kami telah cuba sedaya upaya, tahniah anak encik selamat, encik dapat anak
perempuan, seberat 2.1 kilogram, dan kini kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan Puan
Nura Ain." terang doktor.
"Apa maksud doktor? Tanya Hilmi yang sudah tidak sabar.
"Begini, dia kehilangan banyak darah, kami cuba sedaya upaya menggantikan darahnya yang
keluar itu, dan masih berusaha, namun rahimnya terus berdarah dan kami mohon kebenaran
untuk membuang terus rahimnya demi menyelamatkan nyawanya." jelas doktor.
"Buatlah doktor, saya izinkan asalkan isteri saya selamat."
"Ermmm... lekanya dia sampai terlena." tegur Hilmi sambil membelai dan mengusap kepala
Nur Syuhadah yang terlena akibat kenyang selepas menyusu dengan Nura. Nura hanya
tersenyum. Hari ni genap seminggu usia Syuhadah. Nura Ain masih lemah akibat kehilangan
banyak darah. Namun dikuatkan semangat demi Nur Syuhadah buah hatinya. Dia mencium
sepenuh kasih sayang pipi comel anaknya itu. Dia membelai sayu wajah comel itu. Entah
kenapa dia rasa seperti terlalu sayu hari itu, hatinya terlalu sepi, semalam dia mimpikan arwah
ibunya, datang menjenguk dia dan Syuhadah, tanpa suara, ibunya hanya tersenyum. Dan
akhirnya berlalu begitu sahaja. Hari ini Nura menjadi seorang perindu, dia rindukan ibunya,
dan diceritakan perkara itu pada Hilmi.
"Mungkin mak Nura datang tengok cucu dia, dan dia amat gembira". pujuk Hilmi
menenangkan Nura.
"Abang... tolong Nura bang!!" laung Nura dari bilik air.
"Ya Allah!! Nura kenapa ni?" Hilmi ketakutan. "Mak... tolong mak... makkkkkkkkkkk" Hilmi
menjerit memanggil emaknya di dapur.
"Cepat, bawak pergi hospital, cepat Hilmi," perintah Mak Zaharah.
"Maaf dia tidak dapat kami selamatkan, terlalu banyak darah yang keluar, dan kami tak
sempat berbuat apa-apa, dia terlalu lemah dan akhirnya dia dijemputNya", terang doktor.
Terduduk Hilmi mendengarkan hal itu.
Jenazah selamat dikebumikan. Syuhadah seakan mengerti yang dia sudah tidak akan
menikmati titisan-titisan susu Nura Ain lagi. Syuhadah menangis seolah-olah ingin
memberitahu dunia yang dia perlukan seorang ibu, seorang ibu yang bersusah payah,
bersabung nyawa demi untuk melihat kelahirannya. Demi membahagiakan papanya, demi
membahagiakan neneknya. Syuhadah terus menangis seolah-olah tidak rela dia dipisahkan
dengan ibunya hanya bersamanya untuk sekejap cuma. Semua yang hadir kelihatan
mengesat mata, tidak sanggup mendengar tangisan bayi kecil itu. Semua terpaku dan
terharu, Hilmi mendukung Syuhadah dan memujuk bayi kecil itu, akhirnya dia terlelap di
dakapan papanya.

1 comment:

Anonymous said...

Siri kelas tutorial sudah bermula...

www.azahamin.co.cc