Sejak Syuhadah keluar hospital dua minggu yang lepas, selera makannya bertambah, berat
badan dia kembali naik, dia juga amat-amat manja dengan Salwa. Hilmi juga sudah betul-
betul menjadi suami yang betul-betul bertanggung jawab. Salwa bahagia. Sudah sebulan lebih
Salwa merasa nikmatnya menjadi seorang isteri yang disayangi suami.
“Kenapa ni Salwa, pucat saja,” tanya Mak Zaharah.
“Entalah mak, perut saya ni sakit sangat mak, sakit betul, sakit sampai ke pinggang rasanya.”
“Hai… agaknya kamu ni berisi tak? Kamu mengandung ker?,” tanya Mak Zaharah.
“Entahlah mak, nak kata mengandung, saya ada datang kotor.”
“Memang ler, ada setengah orang, mengandung, tapi uzur tu ada juga, tidak sama Salwa,”
terang Mak Zaharah.
“Nanti kalau Hilmi balik, kamu ajaklah dia pergi klinik, kalau betul kamu mengandung,
Alhamdulillah, kalau tidak pergi buat check up, kenapa kamu selalu sakit perut,” nasihat Mak
Zaharah, Salwa hanya mengangguk.
“Sudahlah kamu pergilah baring, jangan makan apa-apa ubat, takut kalau kamu
mengandung, tidurlah, biar mak saja jaga Adah ni,” Salwa akur, dan naik ke bilik lalu
berbaring, dia juga berdebar-bedar, kenapalah dia begitu, dia selalu saja kepenatan. Dia
merasa risau dan takut tiba-tiba.
“Salwa, kenapa ni,?” Hilmi bertanya lembut.
“Eh abang dah balik, maaf Wa tak sedar, dah pukul berapa ni?”
“Pukul 6.00, kenapa,?” Hilmi bertanya.
“Wa belum solat lagi bang,” bingkas dia bangun, tetapi akhirnya dia rebah semula, kepala
terasa berat, perutnya semakin sakit, badannya juga sedikit panas.
“Ya, Allah kenapa ni Wa, jangan buat abang risau, Ya Allah baru habis sakit Syuhadah, kini
diuji pula dengan sakit Salwa,” dia merasa amat cemas.
“Biar abang bantu ke bilik air, kamu solat sambil duduk sajalah, nanti rebah pulak,”
Hilmi duduk di birai katil menanti Salwa selesai solat, bimbang kalau-kalau Salwa rebah lagi.
Selesai Salwa berdoa, segera dia mengarahkan Salwa bersiap-siap, dia akan membawa
Salwa ke klinik, risau benar hatinya.
“Tahniah puan, positif, nampak dua jalur merah ni? Kalau ada satu jalur, makna negatif, tidak
mengandung, tapi ini dua jalur, maknanya positif, tahniah!” ujar doktor. Salwa tersenyum,
Hilmi di sebelah sudah hilang malu, terus dikucup tangan lembut Salwa, gembira bukan
kepalang.
“Jangan banyak buat kerja-kerja lasak masa peringkat awal kehamilan, dalam perubatan kita
panggil semester pertama kehamilan, janin baru seketul daging, belum terbentuk menjadi
janin yang sempurna, Insya-Allah usia janin baru 6 minggu, means baru nak masuk 2 bulan,
biasanya dalam masa 3 minggu pertama bulan kedua, kesemua organ dan struktur badan
terbentuk. Pada masa ini para ibu akan mula merasa mual. Gusi dan jari juga mula terbentuk.
Organ-organ yang telah terbentuk ini akan terus membesar. Jantung bayi mula berdegup
dengan stabil, dan tulang rangka semakin mengeras, sebab itulah puan kadang-kadang
merasa sakit sekitar perut hingga ke pundi kencing, biasalah ini anak pertama, pertama kali
mengandung, jadi rahim tu baru pertama kali hendak mengembang, memang sakit sikit,”
doktor menerangkan panjang lebar.
“Oooo, begitu, patutlah saya selalu sangat sakit perut, dan terasa hendak buang air, biasanya
berapa bulan janin terbentuk lengkap,?” tanya Salwa
“Ok, biasanya, pada bulan ke empat, Ibu akan mula merasakan pergerakan janin di dalam
kandungan. Ultrasound boleh dijalankan bagi melihat janin di dalam kandungan. Ibu boleh
melihat kepala, tangan dan jari bayi serta tulang belakang dan jantung janin. Dengan
kemudahan ultrasound umur janin boleh ditentukan dengan mengukur saiz janin (dari kepala
hingga punggung janin). Setiap pembentukan janin dapat dilihat melalui ultrasound. Masa ini
roh telah ditiupkan ke dalam janin itu, puan boleh berkomunkasi dengan baby, jadikan ia satu
aktiviti yang menyeronokkan untuk puan dan suami. Untuk puan, saya akan lakukan
ultrasound minggu depan, ini hanya untuk memastikan kedudukan janin, terletak di dalam
rahim, baiklah nanti saya akan bekalkan awak dengan brosur tentang kehamilan, ok… saya
akan bagi ubat tahan muntah, vitamin dan juga awak banyakkan minum susu, supaya anak
dan ibu lebih sihat, kalau ada apa-apa masalah cepat-cepat datang ke klinik, ok?” kata doktor.
Mereka berdua beredar dengan perasaan yang sungguh-sungguh gembira. Hilmi gembira
kerana dia orang pertama tahu Salwa mengandung, tidak seperti masa Nura mengandung,
dia hanya tahu bila Nura jatuh pengsan dan dibawa ke hospital. Dia berjanji tidak akan
mengulangi kesilapan yang sama. Kini Hilmi menghitung hari untuk melihat zuriat keduanya,
setiap malam dia mengusap perut Salwa, bahagia dirasakan. Salwa juga tidak sabar. Namum
tidak seperti Nura, Salwa alah teruk. Mabuk mengandungnya menjadi-jadi. Badan sentiasa
lemah, setiap pagi pasti muntah, makan sikit muntah, hidungnya menjadi sungguh sensitif,
tercium bau tumisan bawang pun cukup membuatkan dia memuntahkan segala isi perutnya.
Hilmi juga terpaksa bersabar, adakalanya disuruhnya Hilmi tidur di bawah kerana katanya
badan Hilmi berbau. Biasanya terpaksalah Hilmi mandi sebelum tidur, siap berbedak. Tetapi
Hilmi tidak kisah memikirkan kerenah ibu mengandung.
Salwa membawa perut yang makin sarat, Syuhadah pun seolah mengerti yang Umminya
tidak larat, jadi dia kurang meragam dan pandai membawa diri, bermain sendiri, langsung
tidak menyusahkan Umminya. Salwa dapat merasakan Syuhadah memang seorang anak
yang baik.
“Assalamualaikum…,” Hilmi menyapa.
“Waalaikumsalam,” jawab Salwa, menghulurkan tangan untuk mencium tangan Hilmi, diikuti
dengan Syuhadah, mungkin biasa melihat Umminya sentiasa bersalam dengan papanya, dia
pun turut bersalam.
“Macam mana hari ni? Sihat?”
“Bolehlah bang, lenguh pinggang saja, maklumlah baby abang ni dah nakal bergerak, tak larat
saya, abang jangan lupa esok check up saya, abang dah ambil cuti?” tanya Salwa.
“Alllahhh, terlupa pulak, alamak macam mana ni? Salwa suruhlah ayah hantar ker, atau
Salwa naik teksi?”
“Sampai hati abang, siapalah saya kan bang,” kata Salwa dan berlalu pergi. Hilmi tersenyum,
ermm ragam orang mengandung, sensitif sungguh.
Di dalam bilik, Salwa menangis teresak-esak, sedih bila Hilmi sengaja melupakan tarikh esok,
berkali-kali diingatkan Hilmi, tapi lupa juga akhirnya dia. Dia merasa sungguh sedih.
“Hai menangis pulak sayang abang ni,” tegur Hilmi sebaik saja, menyelak pintu bilik. Salwa
memalingkan muka. “ishh Wa ni, buat malu kat anak kat dalam perut tu saja, dah besar-besar
menangis, baby tengok Ummi nangis,” usik Hilmi sambil memegang perut Salwa. “Abang dah
ambil cuti dah, dah lulus pun, minggu lepas lagi abang dah apply, senyum sikit,” usik Hilmi.
“Betul ni? Abang ni saja tau.” Satu cubitan manja hinggap di lengan Hilmi. Hilmi menangkap
tangan itu dan dibawa ke mulut lalu dikucup manja. Bahagia dirasakan. Masakan dia akan
membiarkan Salwa, cukuplah sekali silapnya dengan Nura dahulu, takkan diulangi.
Salwa menanti giliran dengan penuh sabar, tak ramai sangat orang di klinik, tetapi dia gelisah,
rasa tidak selesa, pinggangnya makin lenguh, perut asyik terasa lapar sahaja. Hilmi di
sebelah leka membaca surat khabar. Dia merasa lega apabila namanya dipanggil.
“Apa khabar puan?,” tanya doktor.
“Baik, letih ler doktor, lenguh pinggang, lenguh kaki, tak larat saya,” Salwa bercerita.
“Mestilah, dah dekat nak bersalin memang macam tu, sabar jerlah, bukan senang nak jadi ibu
kan? Ok hari ni saya akan scan, mungkin scan yang terakhir kot, ok, boleh baring sana,”
doktor memberi arahan.
Hilmi membantu Salwa naik ke atas katil yang agak tinggi itu, susah payah dia mengendong
perut naik ke katil, Hilmi suka melihat ujian ultrasound dilakukan, dia gembira melihat
kedudukan janin di dalam rahim yang bergerak-gerak, dalam melihat denyutan jantung bayi,
betapa besarnya kuasa Allah. Pertama kali dia melihat janin di dalam rahim ialah bila pertama
kali dilakukan ujian ultrasound semasa usia kandungan Salwa hendak memasuki bulan ke 3,
hampir menitis air matanya melihat kedudukan bayi yang bergerak-gerak di dalam perut, kini
dia dapat melihat dengan jelas setiap pergerakan bayi yang di dalam perut Salwa. Dia merasa
sungguh bahagia, tidak sabar bertemu dengan orang baru, tambahan pula, kali terakhir di
scan dia mendapat tahu bayi itu anak lelaki, kini dia akan punyai sepasang anak.
“Ok, puan, mengikut ukuran bayi, usia kandung sudah 38 minggu, bayi dalam keadaan sihat,
jantung normal, tumberasan bayi juga baik, bagus, tidak ada masalah,” doktor menerangkan.
“Insya-Allah bayi bersedia untuk dilahirkan bila-bila masa sahaja, puan boleh banyak bergerak
pada masa ini untuk memudahkan proses kelahiran,” doktor menambah.
“Doktor kata bila-bila masa?” tanya Salwa.
“Iya, saya menjangkakan minggu depan, tapi tidak mustahil sebelum itu, bersedia sahajalah.”
Mereka kembali semula ke rumah selesai semua urusan. Hilmi berjanji akan membawa
Salwa dan Syuhadah keluar membeli belah petang nanti, masih ada yang perlu dibeli bagi
menanti kehadiran orang baru.
Salwa merasa sungguh tidak berdaya, dia dapat merasakan gerakan bayi semakin kuat,
boleh dikatakan setiap lima belas dia merasa pundi kencing bagai ditekan-tekan, sesekali
terasa seperti hendak membuang air besar. Dia tahu saat untuk dia melahirkan bayi ini makin
hampir. Hilmi masih lagi di pejabat. Dia masih lagi berbaring di atas katil, lenguh berbaring dia
bangun berjalan. Nanum, tekanan bayi makin kuat, terasa seperti hendak luruh segala isi
perutnya. Akhirnya dia memanggil mak mertuanya, dan sepantas kilat Mak Zaharah
menghubungi Hilmi.
Hilmi sampai 20 minit selepas itu, segera dia meluru ke atas, bersusah payah dia memapah
Salwa turun ke bawah, menuju ke kereta. Mak Zaharah pula kelam kabut mencari tudung,
dan mnghubungi keluarga besannya. Mereka semua bergegas ke hospital.
Salwa sudah tidak tertahan sakitnya, Mak Zaharah tidak berhenti-henti menyuruh Salwa
berzikir, berselawat. Sampai di hospital, segera Hilmi mendaftar, menyerahkan rekod
perubatan Salwa, dan dengan segera, jururawat menyorong Salwa ke bilik bersalin, diiringi
Hilmi. Hilmi sungguh cemas, keadaan makin cemas bila melihat banyak darah yang keluar.
Salwa mengalami tumpah darah. Hilmi cemas, dia terkenangkan begitulah nasib Nura dua
tahun yang lepas. Dia berdoa janganlah sesuatu yang buruk berlaku, dia risau sekali. Dia
sungguh takut keadaan yang sama akan berulang. Nura meninggal kerana kehilangan terlalu
banyak darah. Kini Salwa menghadapi situasi yang sama. Dadanya berdegup kencang, ngeri
dan cemas melihatkan darah yang turun sungguh laju.
No comments:
Post a Comment